Jan 27, 2011

KBS Tahun 5 'Masbuq dan Muafiq'


Pengertian Masbuq dan Muafiq


Soalan: 
Apa maksud masbuk dan muafik.
 
Jawapan: 
Secara ringkas, muafik adalah makmum yang sempat takbiratul ihram dengan imam. Dengan kata lain, orang yang muafik ini datang awal ke masjid dan surau serta sempat membaca fatihah bersama imam.

Makmum yang muafik bermaksud dia sempat berjemaah dengan imam semasa berdiri (qiam) imamnya, di mana dia sempat berjemaah dengan imam sekadar masa yang membolehkan ia membaca al-fatihah hingga tamat mengikut pembacaan yang pertengahan di kalangan kebiasaan orang ramai.

Masbuq adalah makmum yang tidak sempat berjemaah semasa berdiri imamnya sekadar masa membaca al-fatihah dengan bacaan yang pertengahan. Tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat, bahkan mengikut bacaan kebiasaan orang ramai.

Makmum yang tidak sempat berjemaah dengan imam semasa berdiri imamnya sekadar masa yang membolehkan ia membaca al-fatihah hingga selesai, maka dinamakan orang yang masbuk.

 
Soalan:
Jika kita masbuk, apakah syarat fatihah kita untuk ditanggung oleh imam?
 
Jawapan: 
Apabila imam selesai membaca fatihah dan rukuk sebelum makmum yang masbuk sempurna membaca fatihah, maka wajib makmum itu memutuskan atau memberhentikan bacaan fatihahnya dan terus rukuk.

Syarat untuk membolehkan makmum memotong bacaan fatihah dan ditanggung oleh imam adalah jangan membaca yang sunat. Iaitu jangan membaca doa iftitah dan ta'awuz (auuzubillah).

Orang yang masbuk hendaklah terus membaca rukun qauli (bacaan) yang wajib. Bagi al-fatihah yang wajib adalah bermula dengan bismillah.

Ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang solat berimam maka bacaan imam itu adalah bacaannya".

Bagi mereka yang masbuk ketika imam sedang rukuk, mereka hendaklah terus rukuk mengikut imam dan tidak perlu lagi membaca fatihah.

Makmum itu dikira mendapat satu rakaat jika dia sempat rukuk bersama imam dengan tama'ninah.

Bagaimanapun, suka diingatkan supaya jangan sengaja melewat-lewatkan bertakbir. Ini taktik orang yang menyangka mereka untung kerana tidak perlu membaca fatihah. Walhal perbuatan tersebut adalah makruh.


Soalan: 
Jika kita muafik, tiba-tiba imam membaca surah pendek dan laju. Kita baru separuh baca fatihah, apa yang perlu makmum lakukan?

Jawapan: 
Dalam kitab fikah, makmum boleh takhalluf (ketinggalan atau terkebelakang) daripada imam tidak melebihi tiga rukun fi'li (perbuatan).

Jika makmum ada masa yang cukup untuk baca fatihah tetapi dia termasuk dalam golongan yang bacaannya lambat secara semula jadi, maka ada ulama yang mengharuskan orang ini memotong bacaan fatihahnya dan terus rukuk sebagai mana makmum yang masbuk. Dan orang ini tidak dikira sebagai muqassir (cuai).

Namun, mengikut qaul yang asah seperti yang tersebut dalam kitab al-Raudah, makmum itu hendaklah menghabiskan fatihahnya dan takhallufnya itu diberi keuzuran.

Bagaimanapun, bacaan al-Quran itu ada tiga wajah iaitu tartil (lambat), tadwir (sederhana) dan hadr (laju). Jadi, kalau pada rakaat pertama kita ketinggalan membaca al-fatihah maka pada rakaat seterusnya hendaklah kita memilih bacaan yang lebih cepat supaya sempat menghabiskan al-fatihah.

 
Soalan: 
Dalam bab masbuk, adakah nas untuk kita tepuk bahu imam?

Jawapan: 
Sebenarnya tidak ada nas berbuat demikian. Bahkan jika kita lakukan perbuatan itu sehingga mengganggu khusyuk solat orang lain, itu jatuh makruh.

Kalau kita hendak masbuk, cukup sekadar kita merapatkan diri dengan imam itu atau menguatkan suara semasa bertakbir.

Ini kerana, tidak disyaratkan seorang itu berniat imam kecuali semasa mengimamkan solat Jumaat.

 
Soalan:
Apabila imam tersilap, contohnya tertinggal tahiyat awal, bagaimana makmum boleh menegurnya?

Jawapan: 
Dalam hal ini, makmum itu perlu tahu adakah kesilapan itu perkara rukun atau sunat dalam solat.

Kalau dalam perkara sunat, makmum tidak dibenarkan melawan atau menyalahi imam. Contohnya, imam terlupa membaca tahiyat awal pada rakaat kedua sebaliknya terus qiam selepas sujud.

Dalam hal ini, makmum wajib ikut imam cuma dia boleh menegur dengan menyebut subhanallah supaya imam tahu dia terlupa tahiyat awal dan boleh sujud sahwi kemudian.

Jika makmum berkeras dan membaca tahiyat awal maka solatnya batal.

Lain pula halnya jika yang terlupa itu melibatkan rukun. Contohnya, imam bangkit selepas rakaat keempat pada solat asar.

Kalau makmum sedar imam terlebih rakaat, maka dia tidak boleh ikut bangun. Jika makmum ikut tambah satu rakaat, maka solatnya batal. Walhal bagi imam, solatnya sah kerana dikira uzur akibat terlupa. Dengan itu, imam boleh teruskan solat hingga memberi salam.

Sebaliknya makmum diberi pilihan sama ada hendaklah duduk tahiyat akhir dan tunggu imam sehingga sampai salam atau niat mufarakah (berpisah daripada imam).

 
Soalan: 
Dalam mengajar anak-anak solat berjemaah, adakah wajar membawa mereka bersama-sama di tengah saf?  

Jawapan: 
Membawa anak-anak solat berjemaah adalah amalan baik. Cuma, pengawasan ibu bapa serta Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid atau surau adalah perlu. Ia supaya anak-anak tidak mengganggu perjalanan solat sehingga menjejaskan kekhusyukan para jemaah.

Bagaimanapun, perkara ini adalah subjektif dan memerlukan kita melihat kepada kesesuaian tempat, masa dan kumpulan sasaran.

Jika berlaku kesesakan disebabkan ruang solat yang kecil terutama pada solat Jumaat maka pengasingan saf antara golongan dewasa dan kanak-kanak perlu dilakukan secara bijak.

Adalah dicadangkan supaya diletakkan had saf kanak-kanak untuk memberi ruang kepada jemaah dewasa yang masbuk.

Para ulama khilaf dalam menetapkan hukum sama ada putus atau tidak saf jika ada kanak-kanak di situ. Bagaimanapun, umumnya di negara kita, saf kanak-kanak diasingkan daripada dewasa. Cuma ia jangan pula terlalu jauh antara kedua-duanya.


***
Alhamdulillah, pada petang ni...sekali lagi Unit jQAF SKTM berjaya melaksanakan Kem Bestari Solat dan kali ini melibatkan murid tahun 5 dengan tajuk 'Masbuq dan Muafiq'.

Penerangan tentang tajuk ini sudah dijelaskan di atas...
sekarang, kita tengok gambarnya pula yer.


Ustaz Syafik Azizi Hussein menerangkan masbuq dan muafiq dalam solat
sekumpulan pelajar dijemput menjayakan demostrasi

Ustaz Aiman dan Ustaz Ibrahim, guru KAFA turut membantu





Ustaz pn turut berlakon

mengambil wuduk sebelum menunaikan solat Asar berjemaah


Ustaz Syafik mengimamkan solat Asar [surau kecik...ada sebahagian kecil pelajar perempuan terpaksa solat di bahagian lelaki]

Alhamdulillah, sudah selesai 2 tahun...ada 4 lagi menyusul..
tahun 4, 3, 2 dan 1

semoga kami terus bersemangat menganjurkan dan menjayakan KBS ini, insyaAllah....amin.


Jan 26, 2011

KBS Tahun 6 Solat Jenazah


Alhamdulillah, semalam Unit jQAF telah berjaya mengadakan Kem Bestari Solat yang pertama untuk tahun 2011. KBS pertama ini berfokuskan kepada Solat Jenazah: Teori dan Amali.

Mungkin ramai yang beranggapan bahawa masih terawal untuk menganjurkan KBS, namun pada hemat kami KBS Tahun 6 perlu diselesai seberapa segera. Ini adalah kerana pelajar tahun 6 merupakan calon peperiksaan UPSR...maka, jadual pembelajaran mereka padat dengan pelbagai aktiviti menjurus kepada UPSR terutama sekali selepas bulan 6 nanti. Jadi, untuk masalah pertindihan jadual aktiviti, maka kami berpendapatan bahawa KBS tahun 6 perlu dimulakan lebih awal.


: : KBS Tahun 6 Siri 1/2011 'Solat Jenazah' : : 

12.45 -  Murid berkumpul di kantin sekolah untuk taklimat dan makan tengahari
01.45 -  Solat Zohor berjemaah
02.30 - Berkumpul di Dewan Kenanga
02.45 - Sesi 1 Solat Jenazah : Teori dan Amali
04.00 - LDK di dalam kelas
04.45 - Solat Asar berjemaah
05.15 - Bersurai


 : : Taklimat dan Makan tengahari : :

nasi bungkus RM2.00 beserta air mineral
 
 
 
 
 
 


: : Solat Zohor : :

 


: : Sesi 1 'Solat Jenazah : Teori dan Amali' : :

 
 
Imam Masjid Kampung Raja [Guru KAFA]

alhamdulillah, selesai sudah KBS pertama utk sesi 2011
Terima Kasih kepada semua yang menjayakannya, terutama sekali guru-guru KAFA yang turut mengikuti aktiviti ini. 

wassalam.

Jan 23, 2011

Jadual Tasmik 2011



assalamualaikum wrt wbt
Selamat kembali ke sekolah dan selamat bersiaran semula blog Unit jQAF SKTM
berikut ialah jadual pelaksanaan kelas tasmik untuk sesi 2011, semoga semua pelajar dan guru dapat sama-sama menjayakan kelas tasmik ini, insyaAllah.


Jul 7, 2010

e-laporan


Assalamualaikum wrt wbt

Dah agak lama blog ni tidak di update...bukan kerana kekangan waktu, tetapi kerana tiada cerita menarik hendak dikongsikan bersama...sehingga lah seminggu yang lalu, apabila semua guru jqaf mula kekalutan untuk menyiapkan e-laporan.

Dan hari ini, e-laporan ini perlu dihantar ke PPD, tetapi...kami masih lagi mengetuk-ngetuk keyboard...mengisi laporan yang masih berbaki...kesian kami.

Tapi itu lah 'harga' disebalik program jQAF ini...ada laporan yang perlu dihantar...biar pn laporan ini mengundang seribu satu masalah kepada kami - komputer buat hal! 
Tapi, atas dasar tanggungjawab...kami terpaksa bertungkus lumus menyiapkan laporan ini...dan perlu dihantar pada hari ini juga! Wallahua`lam..


Ustazah Norlida, Ustazah Suriati dan Ustazah Kartini...tekun menyiapkan laporan..
 

Kepada rakan-rakan setugas, semoga kita berjaya menyiapkannya segera, insyaAllah...

Apr 4, 2010

Kem Bestari Solat



Kem Bestari Solat, sebagaimana kita tahu merupakan salah satu daripada 6 model jQAF yang perlu dilaksanakan di sekolah. Menurut pihak KPM, setiap murid jQAF perlu mengikuti sekurang-kurangnya 4 kali kem setahun.

Justeru, untuk tahun 2010, Unit jQAF SK Tengku Mahmud telah pun mengadakan kem pertama bagi murid-murid tahun Dua dan tahun Lima. 

: : Kem Bestari Solat Tahun Dua : :
Tarikh : 31 April 2010
Tempat : Surau sekolah dan Bilik jQAF

: : Kem Bestari Solat Tahun Lima : : 
Tarikh : 1 April 2010
Tempat : Surau Sekolah dan Bilik jQAF

Seramai kira-kira 175 orang murid tahun dua dan 171 orang murid tahun lima telah menghadiri kedua kem tersebut yang dikendalikan 8 orang guru-guru jQAF dan dibantu oleh 5 orang guru KAFA [untuk KBS Tahun Dua sahaja].

KBS bermula sejurus selesai waktu persekolahan dengan murid-murid berkumpul di kantin untuk sama-sama menikmati makan tengahari. 

Selesai makan tengahari, murid-murid lelaki akan dibawa ke surau sekolah untuk mengambil wudhuk dan seterusnya mendirikan solat zohor berjemaah. manakala murid perempuan pula menunaikan solat di bilik jQAF. 

Selepas itu, murid-murid kebahagikan kepada beberapa kumpulan dan aktiviti di dalam kelas pun bermula sehingga masuk waktu asar. 

Semua peserta KBS dibenarkan pulang hanya selepas selesai mengerjakan solat Asar berjemaah.

Untuk murid tahun dua, fokus KBS kali ini adalah bacaan dalam solat dan perlakuan solat. Manakala murid-murid tahun 5 mula diberi pendedahan solat masbuk dan muafiq.

Jom tengok gambar...

 murid-murid tahun dua mengerjakan solat zohor berjemaah

 murid tahun lima menikmati makan tengahari bersama-sama

 alhamdulillah...ramai yang sudah menguasai bacaan dan perlakuan solat yang betul.

semoga setiap ilmu yang diperolehi dari KBS akan terus diamalkan oleh murid-murid SKTM dan semoga mereka akan menjadi insan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah turut cemerlang di akhirat, insyaAllah.


Feb 25, 2010

Selawat dan Salam buat kekasih Allah


 

Marilah sama-sama kita mengingati hari kelahiran Nabi Muhammad saw dengan memperbanyakkan selawat ke atasnya. Sesunnguh pada selawat tu..seribu satu kelebihan.


Selawat, secara umumnya adalah perkataan jamak dari kalimat solat. Di segi bahasa pula, ia bererti doa, rahmat dari Allah, memberi berkah dan ibadat. Dalam pengertian yang lebih luas, berselawat kepada Nabi Muhammad bererti memperbesarkan, mengagungkan serta mendukung perjuangannya yang mulia, di samping melahirkan rasa syukur atas perutusannya yang menjadi rahmat seluruh alam ini, malah menambahkan keyakinan beramal dengan sunnahnya yang diredhai Allah.
Sejajar dengan itu, selawat kepada Nabi Muhammad merupakan ibadah yang mulia dan terpuji. la mengandungi berbagai-bagai kelebihan dan mendapat pertolongan dan perlindungan yang istimewa dari Nabi Muhammad serta memperolehi ganjaran yang besar dari Allah di hari akhirat kelak.
Kelebihan atau keistimewaan selawat antara lain dijelaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya. ” (Surah Al-Ahzab: 56).

Antara hadis-hadis yang menyatakan tentang kelebihan selawat ke atas Rasulullah ialah:
1. “Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat. ” (Riwayat Tabrani).
2. “Barang siapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barang siapa berselawat kepadaku dari jauh maka, selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya. (Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib).
3. “Barang siapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.” (Riwayat Ahmad, Nasai dan Al Hakim).
4. Dari Ubai bin Ka ‘ab: “Aku bertanya, wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku memperbanyakkan selawat, maka berapakah aku jadikan untukmu dari selawatku? Nabi bersabda: Apa yang kamu kehendaki. la berkata: kataku: “Seperempat.” Sabda Nabi: “Apa yang kamu sukai dan jika kamu tambah maka itu yang lebih baik bagi kamu.” Kataku: “Apakah sepertiga? ” Sabda Nabi: “Apa yang kamu sukai, jika kamu tambah itulah yang lebih baik bagi kamu.” la bertanya: “Apakah aku jadikan selawatku buatmu semuanya.” Nabi bersabda: “Jika demikian maka dicukupilah cita-citamu dan diampuni dosamu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi dan Al Hakam).
5.”Berselawatlah kamu kepadaku, kerana selawat itu menjadi zakat (penghening jiwa pembersih dosa) bagimu.” (Riwayat Ibnu Murdawaih).
6. “Barang siapa berselawat kepadaku dalam sehari seratus kali, maka Allah mendatangkan baginya seratus hajat, tujuh puluh untuk akhirat dan tigapuluh untuk dunianya. ” (Riwayat Ibnu Majar dan Jabir).
7. “Barang siapa berselawat kepadaku dalam sehari seribu kali, maka ia tidak akan mati sehingga ia digembirakan dengan syurga.” (Riwayat Abus Syaikh dari Anas).
8.”Orang yang bakhil ialah yang bila disebut namaku kepadanya, lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku. (Riwayat Tirmizi).

Di dalam kitab Ibnu Farhun Al Qurthubi dinyatakan bahawa membaca selawat kepada nabi mengandungi sepuluh faedah dan mendatangkan kemuliaan, iaitu:
  • Memperolehi selawat dari Allah.
  • Memperolehi syafaat dari Nabi Muhammad.
  • Mendapat pimpinan dari malaikat yang baik-baik.
  • Menghapuskan dosa.
  • Mendapat pertolongan
  • Tercapai keperluan hidup.
  • Mempunyai pembeza dengan orang munafik dan kafir.
  • Memperolehi nur zahir dan batin.
  • Mendapat keselamatan dari azab neraka, membolehkan memasuki syurga.
  • Memperolehi ucap selamat dari Allah.
Menurut para ulama yang didasarkan keterangan-keterangan hadis, membaca selawat kepada Nabi Muhammad akan memperolehi 30 faedah yang amat besar. Di antaranya ialah memperolehi limpah rahmat dari Allah, ditulis sepuluh kebajikan, dihapuskan sepuluh kesalahan, diangkat sepuluh darjat, memperolehi kesempurnaan iman, memperolehi syafaat Nabi Muhammad dan lain-lain lagi.
Justeru itu, marilah kita sebagai umat Islam sentiasa berselawat kepada Rasulullah. Itu tandanya kita sangat mencintai Rasulullah yang menjadi kekasih Allah.
[http://berita-harian-online.com/kelebihan-selawat/]

Feb 18, 2010

Kelas Tasmik bermula


Bermula hari Ahad, 21 Feb 2010, kelas Tasmik sekolah akan bermula dengan melibatkan semua guru jqaf dan beberapa orang guru Pendidikan Islam [GPI], khususnya GPI yang mengajar tahun 6.

Berikut merupakan jadual pelaksanaan Kelas Tasmik untuk sesi 2010

HARI
TAHUN
MASA
AHAD
3 & 4
1.15 - 2.15 petang
ISNIN
1
12.45 - 1.45 petang
RABU
2
12.45 - 1.45 petang
KHAMIS
5
1.15 - 2.15

Manakala, murid tahun 6 pula akan mengikuti Kelas Tasmik semasa P&P Pendidikan Islam dijalankan mengikut jadual kelas masing-masing. Semua guru j-QAF dan GPI yang mengajar matapelajaran al-Quran tahun 6 telah diminta untuk meluangkan sedikit masa bagi memberi laluan kepada murid-murid untuk melakukan tasmik al-Quran.

Semoga kelas ini akan berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada semua pihak, insyaAllah.